19 MAC: GERAI NASI LEMAK MAK LONG, PPR HICOM
Sekiranya kita diajukan soalan, apakah makanan yang akan mengingatkan kita kepada Malaysia, sudah pasti antara jawabannya ialah Nasi Lemak!
Siapa yang tak kenal nasi lemak? Boleh dikatakan majoriti masyarakat di Malaysia membesar dengan nasi lemak. Terkenal sebagai menu pilihan utama untuk bersarapan, nasi lemak kini juga menjadi pilihan juadah untuk waktu-waktu lain seperti makan petang atau malam.
Satu perkongsian yang menarik mengenai nasi lemak ialah oleh Richard Olaf Winstedt (1878-1966), seorang orientalis terkenal dari barat yang telah menulis mengenai resepi nasi lemak di dalam bukunya, The Circumstances of Malay Life (1947). Beliau menulis,
“He (the Malay cook) will boil the rice along with such spices as caraway seeds, cloves, mace, nutmeg, ginger and garlic, in dripping or coconut oil; or he will boil it in coconut milk instead of water…”
Dan beliau telah menulis buku itu sekitar tahun 1909! Bermakna, nasi lemak telah wujud ketika abad ke-18 lagi!
Jadi tak menghairankan sekiranya DNA nasi lemak di Malaysia cukup dekat dengan masyarakat di Malaysia dan popularitinya merentasi setiap bangsa, etnik dan status. Dari hidangan di hotel lima bintang hingga peniaga warung, nasi lemak bagaikan menu wajib yang mesti ada di dalam senarai sajian mereka.
Apa sebenarnya keistimewaan nasi lemak? Mengapa ia menjadi pilihan? Adakah kerana rasanya? Atau harganya yang berpatutan?
Untuk itu, saya mendekati Mak Long atau nama sebenarnya, Siti Asa binti Salleh, seorang peniaga nasi lemak yang telah hampir 15 tahun menjadikan nasi lemak sebagai menu utama di gerai jualannya. Di bantu oleh puterinya, Nurul Fazhanim, beliau berniaga setiap hari bermula pukul 6 hingga 8.30 pagi di Blok C PPR Hicom. Mak Long yang telah berusia 68 tahun sememangnya sudah dikenali dalam kalangan penduduk sekitarnya dek kerana keenakan nasi lemaknya yang ringkas.
“Nasi lemak ni, ada rasa istimewa dia. Syaratnya kena lengkaplah semua bahan dia. Nasi tu kena lemak secukup rasa, sambal tu kena sedang-sedang tak pedas sangat, kena ada ikan bilis goreng, telur rebus, timun, kacang. Baru la lengkap rasa nasi lemak tu walaupun tanpa lauk.
“Cuma sekarang ni, ada orang jual nasi lemak berlauk. Tapi bila dah letak lauk, kacang tak letak, timun tak letak, ikan bilis goreng tak ada, ini tak betul sebenarnya sebab rasa nasi lemak tu dah lari. Dah jadi macam makan nasi dengan lauk.”
Apabila Mak Long menekankan soal rasa asas nasi lemak, saya tertarik untuk mengetahui atas faktor apa nasi lemak sering menjadi makanan pilihan tanpa mengira bangsa?
“Orang suka makan nasi lemak ni agaknya sebab, kita di Malaysia ni dah terbiasa dengan nasi. Tak kiralah orang Cina ke, India ke, Melayu ke, memang kita hari-hari akan makan nasi. Nasi lemak ni pulak makanan yang ramai orang mampu beli dan kalau dah makan tu, contoh makan waktu sarapan pagi, kenyang tu boleh la tahan sampai ke tengah hari berbanding makan kuih.”
Untuk pengetahuan, sebelum saya menjejakkan kaki di PPR ini lagi, Mak Long sememangnya sudah berniaga nasi lemak. Oleh itu, rutin bangun jam 3.00 pagi setiap hari untuk melakukan persediaan memasak nasi lemak itu sememangnya sudah sebati dengan dirinya. Jadi saya tanyakan pada Mak Long, apa perkara yang Mak Long rasakan cukup menyeronokkan sepanjang pengalamannya berniaga nasi lemak.
“Berniaga nasi lemak ni seronoknya bila ada pelanggan berulang. Bila berulang maknanya apa yang kita jual tu orang makan sedaplah. Ada pelanggan tu, dia mula beli nasi lemak dari zaman dia bujang, sampai la dia kahwin dan sampai la dia dah ada anak, dia masih lagi beli nasi lemak dengan Mak Long. Sekarang ni dia beli sambil bawa anak dia pulak. Jadi Mak Long ni macam tengok anak sendiri membesar pulak padahal itu cuma pelanggan je. Seronoknya tu, hubungan kita dengan pelanggan tu jadi mesra. Tapi itu kebanyakannya pelanggan dulu la. Pelanggan sekarang, tak mesra sangat.”
Melihat pada jawapan Mak Long mengenai perbezaan pelanggan dahulu dan sekarang, saya tertarik untuk mengetahui apakah perbezaan yang dimaksudkan oleh Mak Long.
“Mak Long ni mula-mula datang PPR ni tahun 2005. Masa tu penduduk tak ramai lagi macam sekarang. Jadi bila kita meniaga tu, kita ada masa tanya khabar pelanggan. Sebab pelanggan pun bukan orang lain, jiran-jiran kita juga. Jadi dari nasi lemak, lama-lama kita ni jadi mesra dengan jiran-jiran sampai ada semangat kejiranan. Yang seronok, semangat tu kekal sampai kita boleh bekerjasama buat gotong royong kenduri kahwin, buat majlis itu ini. Tak payah panggil catering pun.
“Tapi sekarang ni lain. Bila penduduk dah makin ramai, pelanggan yang datang cuma nak beli nasi lemak je. Jadi hubungan yang ada cuma antara pembeli dengan penjual walaupun sebenarnya itu jiran-jiran juga. Tapi Mak Long faham la, zaman sekarang ni semua orang sibuk. Tak cukup kerja siang, sambung ke malam. Masa yang ada sikit tu, itu je lah masa yang ada untuk keluarga. Kurang la masa nak bergaul dengan jiran-jiran.”
Mungkin apa yang dikatakan oleh Mak Long itu ada asasnya. Terkadang, kesuntukan masa sememangnya membuat kita kurang bergaul dengan jiran tetangga.
Namun apa yang dapat saya simpulkan ialah, impak sebuah perpaduan bermula dengan juadah bernama nasi lemak.
Sekiranya kita melihat kuih bulan, sudah pasti ia sinonim dengan masyarakat Cina, manakala murukku pula cukup akrab dengan masyarakat India. Dan lemang pula sudah pasti tradisi utama masyarakat Melayu.
Jadi apa identiti makanan yang mewakili majmuknya Malaysia?
Ada terfikir makanan lain selain nasi lemak?