Mulakan Semuanya Dengan Senyuman!

Mac 2021: Seksyen 24, Shah Alam

Saya menyantuni sebuah filem dari Indonesia berjudul Perempuan Berkalong Sorban (2009) arahan Hanung Bramantyo. Filem lakonan Revalina S. Temat itu membawa penontonnya ke satu sudut daerah cara fikir solusi wanita dalam mendepani apa sahaja ujian kehidupan.

Walaupun filem kontroversi ini sekadar sebuah filem yang dianggap fiksyen, namun ujian itu tetap nyata di dunia realiti. Dan akhirnya, ia akan kembali kepada manusia itu sendiri bagaimana untuk dia mencipta serta meyakinkan diri dengan solusinya sendiri.

Untuk itu, saya memilih untuk bertemu dengan seorang ibu muda dari PPR Hicom yang saya rasakan punyai satu aura cekal. Baru berusia 29 tahun, Farahana binti Azahar Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan Fara, telah diuji dengan melalui dua alam perkahwinan. Dan perkahwinan pertamanya adalah ketika dia berusia 17 tahun.

“Habis je SPM, saya kahwin. Setahun selepas tu, saya dah ada anak. Sekarang anak saya yang paling besar umur 11 tahun. Nanti anak saya umur dah 20 tahun, umur saya baru 38. Silap-silap umur saya 40 tahun, saya dah dapat menantu,” selorohnya petang itu.

Walaupun beliau petah bercerita dalam nada ceria, namun ada sisi kisah lain yang saya rasakan dia ingin ceritakan. Untuk itu saya tanyakan padanya, adakah tidak timbul rasa menyesal berkahwin di saat keputusan peperiksaannya belum keluar. Kerana lazimnya kita tahu angka usia 17 hingga 20 tahun adalah waktu sibuk untuk menyambung pelajaran.

“Jadi ibu muda ni cabarannya ialah mental dan bukan fizikal. Sebab waktu tu fizikal masih kuat. Saya sendiri waktu sarat mengandungkan anak pertama dah masuk ke kebun nak menoreh getah. Kena bangun pukul dua pagi setiap hari, jadi mangsa nyamuk selain risiko di dalam kebun tu sendiri, secara fizikalnya tiada masalah pun bagi saya. Cuma yang meletihkan ialah bila kita mula rasakan yang kita ni sendiri.

“Sebab waktu tu, bila saya diuji dengan ujian seperti konflik rumah tangga selain dari desakan kos sara hidup, saya mula nak memperbandingkan hidup saya dengan orang lain. Yalah, saya kan masih belasan tahun. Bila waktu tu saya dengar ada kawan-kawan yang dah sambung belajar, lepas tu kalau yang dah kerja dan kerja mereka selesa, tak macam saya yang cuma toreh getah ni, dah pastilah kita akan rasa down. Rasa down dan kecewa tu yang akan bawa kita untuk berfikir nak cari jalan keluar lain.”

Apabila dia menceritakan mengenai rasa down dan kecewa yang dialaminya, mungkin apa yang dirancang tidak seperti yang dia bayangkan. Mungkin apa yang dia mahukan tidak seperti apa yang diperolehi. Dan dalam usia yang masih muda waktu itu, saya cuba lagi selami sejauh mana setiap ujian itu mampu membuatkannya lebih cekal dan bagaimana dia menghadapinya.

“Jujurnya perkahwinan pertama saya memang bukan seperti yang saya harapkan. Dengan anak yang masih kecil waktu tu dan saya tak henti-henti diuji, saya selalu tewas dengan air mata. Saya tanya Tuhan, kenapa saya? Kenapa bukan orang lain? Kenapa saya tak bahagia? Kenapa itu, kenapa ini, macam-macam soalan yang ada dalam kepala saya. Tapi hidup kena diteruskan. Saya fikir saya ada anak. Saya tak boleh habiskan masa nak menangis sambil bandingkan hidup saya dengan orang lain.

“Cuma mana-mana wanita pun, muda ke, tua ke, bila dia dah setuju untuk nak kahwin, perkataan menyesal kena letak jauh-jauh. Menyesal akan buat kita lagi down sedangkan awalnya kita yang setuju nak kahwin. Sebab tu waktu itu, saya nekad cuba perbaiki situasi. Sehinggalah saya dapat rumah PPR di Shah Alam, macam dah nampak la sikit sinar tu.”

Saya tertarik apabila dia mengatakan perkataan sinar. Mungkin setelah melalui episod sukar dalam hidupnya seperti telah hidup berpindah-randah berkali-kali, saya cuba dalami apa maksud di sebalik perkataan sinar itu pada beliau.

“Pengalaman sebelum ni sebenarnya buat saya belajar yang kita kena ada dalam circle yang betul. Circle yang supportive dan yang bagi kita aura positif. Kita tak boleh tunggu circle tu. Kita yang kena cari. Dari situ baru la kita akan nampak sinar hidup tu. Contoh waktu saya baru bercerai dan kemudian cuba berniaga untuk menyara keluarga, circle hidup saya sentiasa negatif. Jadi saya ni susah nak bangkit dan sentiasa murung dan tertekan.

“Sebab tu saya bersyukur sangat, suami baru saya ni sangat-sangat supportive. Dia selalu bagi dorongan biar saya jangan give up terutama dalam usaha saya nak berniaga ni. Sebab dia nampak yang walau secara luarannya saya macam wanita yang kuat dan cekal, sebenarnya saya ni lemah. Dari situ saya mula berubah, dari seorang yang tak bercampur dengan komuniti, saya beranikan diri join program K2K Idol. Kemudian saya join juga program K2K Aktif Bersama untuk luaskan lagi circle positif diri saya. Dan yang paling saya tak percaya saya dah lakukan, saya hubungi Befrienders dari program konsultasi K2K tu untuk berkongsi masalah saya seterusnya untuk pastikan diri saya sentiasa kekal positif.

“Kekal positif ni penting sebab contohnya, mungkin kejayaan dari usaha saya berniaga ni tak la nampak sangat. Saya masih lagi tinggal di PPR, sale pun tak sampai lagi puluhan ribu, tapi bila kita positif, kita akan enjoy dengan apa yang kita buat. Lagi satu bila kita sibukkan diri ni, kita boleh lebih senang nak move on dari masalah-masalah kita yang dah lepas tu. Yang penting, kekuatan saya ialah sentiasa cuba tersenyum apatah lagi di depan anak-anak. Dari senyum barulah datang sinar untuk saya sentiasa kuat.”

Secara literalnya mungkin dengan setiap lemparan senyumannya itu, segalanya tampak seperti serba sempurna untuknya. Namun siapa tahu, ada episod duka yang melingkari setiap langkah perjalanan hidup ibu kepada tiga orang cahaya mata ini. Terfikir juga, terkadang kita tak sedar pun yang setiap ujian itu telah berjaya kita selesaikan walaupun pada waktu ujian itu menjengah, kita rasakan yang tiada jalan keluar untuknya.

Kerana manusia tidak memilih untuk diuji.

Tetapi adakah manusia akan diuji?

Sudah pasti jawapannya ya.

Mungkin ujian yang kita hadapi tidak seperti Fara, tetapi tanpa sedar kita juga adalah survivor pada ujian yang mungkin kita dah lupa ia adalah ujian.

Cubalah tersenyum. Mungkin itulah penawarnya!