FEBRUARI 2021: WARUNG KUPI-KUPI, KAMPUNG BARU HICOM
Untuk seorang chef, sudah pastilah lapangan tugasnya adalah dalam hal masakan. Namun bagaimana jika seorang chef menyanyi dan menyertai pula sebuah pertandingan nyanyian? Dan bagaimana pula jika seorang chef merasakan yang menyanyi dan memasak itu tergolong dalam kategori ‘seni’ yang sama?
Untuk itu, saya duduk semeja dengan ‘Mr Chef’, Alauddin Amri, 31, yang sudah berpengalaman luas dalam bidang seni kulinari malah telah memenangi pelbagai anugerah pencapaian di dalam bidang tersebut walaupun usianya masih muda.
Tetapi bukan dalam bidang nyanyian.
Namun beberapa bulan yang lalu, dia telah menyertai satu pertandingan nyanyian iaitu K2K Idol, yang dianjurkan oleh Think City dengan kerjasama Perwacom, Karyawan dan PPR Hicom. Dan tanpa diduga, seorang chef tersenarai dalam Top 5 pertandingan tersebut. Untuk itu, saya tanyakan padanya, mengapa seorang chef tergerak mahu sertai pertandingan nyanyian?
“Muzik ni, dari sekolah rendah lagi, sebelum jadi chef pun saya dah minat dengan muzik. Masa remaja dulu pernah buat band, jadi penyanyi band tu dan berazam nak jadi rockstar. Tapi end up jadi chef pulak,” selorohnya.
Saya tertarik sebenarnya dengan cara dia bercerita mengenai minatnya dalam muzik. Dapat dirasakan ikhlas dan teruja apatah lagi apabila saya bertanyakan pengalamannya menyertai K2k idol tempoh hari.
“Memang saya tak sangka langsung. Andy Flopp Poppy komen nyanyian saya depan-depan! Andy tu! Dari zaman sekolah lagi saya minat dia!”
Untuk pengetahuan, malam itu, Alauddin menyampaikan sebuah lagu yang telah memenangi AJL edisi ke 30 nyanyian Akim and The Magistrate berjudul Potret. Dan dia menyanyikannya di hadapan tiga orang juri professional termasuklah Andy dari kumpulan, Flopp Poppy.
“Perasaannya lain. Bila kita tengok cara Andy tu pandang kita pun, kita macam dah dapat rasa aura pengalaman dan ilmu yang dia ada. Bagi saya la kan, saat dia komen nyanyian saya tu, itulah pengalaman paling berharga saya pernah dapat.”
Sebenarnya, di sebalik keterujaan dan kegembiraan dia menceritakan pengalamannya, saya masih tertanya-tanya, apakah program nyanyian seperti K2K Idol ini berjaya memberikan impak pada dirinya secara peribadi? Atau, ia hanya sebuah episod kenangan yang hanya membuat dia teringat namun tidak memberikan apa-apa impak?
“Jujurnya, tiada apa yang berubah pun sebenarnya. Keesokan harinya lepas tamat pertandingan tu, saya masih lagi seorang tukang masak. Masih lagi pergi kerja naik motor. Masih lagi menyanyi dalam Smule, depan isteri dan masih lagi tinggal di PPR Hicom. Secara asas, saya masih lagi seorang ‘saya’. Bezanya, cuma ada duit ekstralah sebab dapat hadiah duit kan. Hahaha!”
Dari jawabannya, saya menebak yang mungkin jawaban yang sama juga akan dilontarkan oleh peserta Top 5 lain. Hakikatnya, memang tiada perubahan drastik dari aspek kehidupan yang dialami oleh mereka. Namun tak dapat dinafikan, apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan hari ini adalah pengalaman untuk esok.
“Macam K2K Idol ni, bila kita tengok juri-jurinya yang bukan calang-calang tu, dah tentu kita dapat pengalaman berguna daripada mereka. Macam mana nak menyanyi dengan betul, nak improve skill nyanyian, cara pilih lagu, pitch, range, create feel, semua tu pengalaman bergunalah kalau nak menyanyi lagi lepas ni.”
Dari sudut penjelasannya, saya merasakan yang ia melalui sudut dia sebagai seorang yang menyanyi di dalam pertandingan tersebut, namun bagi saya, apa sahaja pertandingan sudah pasti ada yang kalah dan menang. Dan adakah objektif sesuatu pertandingan itu adalah hanya untuk melahirkan pemenang? Bagaimana dengan yang kalah?
“Bagi saya, dalam pertandingan apa pun tak kiralah, K2K Idol ke, pertandingan memasak ke, kita kena fikir yang pertandingan ni platform untuk bina keyakinan diri. Sebab pertandingan ni medan nak mempersembahkan apa yang kita boleh lakukan, pada orang. Dan semua tu bermula dengan mencuba. Kalah atau menang itu soal kedua sebab, kita dah cuba. Dari situ, keyakinan kita dah terbina secara natural sebenarnya.
“Sebab tu bagi saya memasak dengan menyanyi ni sama je. Kedua-duanya adalah dalam kategori seni. Dan maksud seni itu akan sampai dengan adanya audien. Memasak audiennya ialah orang yang makan. Menyanyi pula audiennya ialah orang yang dengar. Kalau tiada audien, macam mana kita nak tahu apa yang kita buat tu bagus ke tak, kan? Kemudian barulah kita akan faham, kita berpotensi atau tidak dalam bidang tu.”
Hujahnya bagi saya bernas. Kerana, tanpa mempersembahkan kebolehan kita kepada umum, bagaimana kita boleh menilai potensi diri? Dan tanpa mencuba, bagaimana kita nak membina keyakinan diri?
Tetapi ada jawaban yang agak menarik apabila saya tanyakan mengenai impiannya dalam bidang nyanyian selepas ini.
“Secara jujurnyalah kan, siapa yang tak nak lagu dia keluar radio, Spotify, atau buat persembahan di hadapan ribuan orang dalam konsert, lepas tu bila kita di luar, orang akan kenal kita sebagai penyanyi, siapa yang tak nak kan? Memang dream come true la untuk saya yang memang dah menyanyi sejak zaman sekolah lagi. Cuma ukuran kejayaan setiap orang tu berbeza-beza. Mungkin untuk orang yang memang dah 100 peratus fokus nak jadi penyanyi, siap masuk kelas vokal, join audition sana sini, mungkin dia ada skala kejayaan yang berbeza.
“Tapi untuk saya ni yang menyanyi dalam dapur je, masuk Top 5 K2K Idol pun rasa dah macam perform final AJL. Mungkin kalau lepas ni saya usaha lebih lagi dalam bidang nyanyian, ada rezeki pulak, mungkin kejayaan yang berbeza datang. Yang penting, raikanlah kejayaan yang dicapai sekarang walaupun ia cuma kejayaan kecil. Itulah namanya bersyukur, kan?”
Sebuah penutup kata yang ringkas namun mengesankan dari Mr Chef. Sememangnya, tanpa kejayaan kecil, tak akan ada kejayaan besar. Dan untuk itu, raikan dahulu kejayaan yang ada dan bersyukur. Dari itu dapat saya rumuskan, siapa pun kita, bidang apa pun yang kita mahu ceburi, penting untuk kita mencuba dahulu. Berjaya atau tidak, kita raikanlah kejayaan kita yang telah berani mencuba.