Teknologi Digital? Tak Susah Pun!

MAC 21: BILIK GERAKAN PERWACOM

Kemajuan teknologi sebenarnya telah melahirkan generasi yang cakna dengan perubahan. Transisi dari pengenalan Yahoo dan Netscape sebagai enjin carian ketika hujung 90an, kemudian ke ledakan medium perbualan dari BBM hingga ke Whatsapp hingga pengoperasian sistem dari Symbian ke Android dan IOS, semua itu secara perlahan dihadam sebagai gaya hidup yang serentak dengan pertambahan usia setiap generasi.

Namun bukan semua generasi cakna dengan perubahan tersebut.

Mungkin pada generasi yang lahir dalam era 60an dan ke bawah, impak teknologi masih lagi tidak ‘menyentuh’ mereka secara menyeluruh. Sebagai contoh, walau kebanyakan mereka aktif dengan penggunaan Whatsapp sebagai komunikasi gaya baharu atau lebih gemar berhibur dengan YouTube sebagai alternatif selain dari siaran TV, namun masih ramai juga sebenarnya yang tidak menjadikan My Sejahtera sebagai gaya hidup baharu mereka.

Berbeza pula impaknya kepada generasi baharu. Mereka dilihat memanfaatkan semaksimum mungkin kelebihan minda segar mereka dalam menghadam ledakan literasi teknologi sama ada dari sudut sosial mahupun hiburan.

Untuk mengetahui sejauh manakah cakna dan peka setiap generasi terhadap literasi digital, saya mendekati Muhammad Nurhakim Bin Hashim, salah seorang sukarelawan untuk kempen #SayaDigital anjuran MDEC. Petah berbicara, beliau yang baru berusia 20 tahun dan sedang menyambung pengajian dalam bidang Medical Lab ini merupakan belia yang aktif menjadi tenaga pembimbing untuk program #SayaDigital yang dijalankan di PPR Hicom.

Satu persoalan yang saya ajukan awal-awal lagi ialah, mengapa berminat menjadi sukarelawan program Saya Digital ini? Sedang dalam masa yang sama masih lagi sibuk dengan komitmen sebagai seorang pelajar.

“Jadi sukarelawan ni kan, mungkin sebab saya tak boleh duduk diam sebenarnya, hahaha! Sebelum ni pun saya memang dah aktif jadi sukarelawan untuk bermacam-macam program. Masa PKP mula-mula dulu pun saya jadi sukarelawan membantu tugas frontliner masa gelombang Covid-19 pertama. So, jadi sukarelawan ni dah biasa la untuk saya.

“Cuma kalau soalannya kenapa, sebenarnya untuk program Saya Digital ni, saya pun bukannya pakar sangat dalam teknologi digital. Setakat aplikasi harian yang kita selalu guna tu boleh la saya nak ajar. Cuma saya rasa semakin banyak kita berkongsi ilmu dengan orang lain, semakin banyak yang kita tak tahu sebenarnya. Dan dengan menjadi sukarelawan program ni, walaupun nampak macam saya yang mengajar, tapi itu proses untuk saya belajar sebenarnya. Macam mengajar sambil belajar.”

Saya juga sebenarnya sempat mengikuti program Saya Digital yang dikendalikan oleh beliau, dan sememangnya agak banyak perkara baharu yang saya pelajari!

Untuk itu saya tertarik untuk mengetahui, apakah sebenarnya beza dan cabaran dalam memberikan bimbingan celik digital ini kepada generasi dahulu dan sekarang.

“Memang ada beza. Kalau pada generasi yang berusia ni memang mereka anggap digital ni semua susah dan memeningkan kepala. Mungkin antara sebabnya ialah kebanyakan aplikasi ni guna Bahasa Inggeris selain daripada kesukaran nak ingat step setiap aplikasi. Jadi cabaran saya ialah bagaimana nak bagi mereka nampak yang kemudahan digital ni tak susah mana pun. Tapi, setakat ni dengan silibus ringkas dan cara pembelajaran yang santai, majoriti ramai dari mereka faham dan dah cuba praktikkan.

“Lagi satu, generasi dulu ni juga masalah mereka ialah risau dengan tahap keselamatan guna kemudahan digital ni. Setakat Whatsapp atau YouTube tu bagi mereka tak ada masalah sangat. Tapi yang melibatkan transaksi duit ni, masih ramai yang was-was. Sebab tu masih ramai yang lagi selesa guna cara lama dengan beratur dan ambil nombor di pejabat pos hanya untuk bayar bil TNB sedangkan benda tu boleh kita buat depan TV di rumah. Itu belum lagi yang takut dengan scammer sebab kebanyakan transaksi perbankan online kan menggunakan nombor telefon.”

Sekiranya pada generasi terdahulu masalah mereka adalah seperti yang dijelaskan oleh beliau, bagaimana pula dengan generasi sekarang yang dilihat kebanyakan mereka sudah arif dalam hal literasi digital ini?

“Saya rasa generasi sekarang atau generasi macam saya ni kan, semua dah cekap dah. Kalau setakat saya nak ajar cara nak bold-kan tulisan dekat Whatsapp atau cara nak screenshot telefon, ramai yang lagi advance kot. Sebab tu mungkin, tak ramai belia seusia saya ni yang join program ni. Cuma untuk generasi baru ni cabarannya mungkin dalam nak memberitahu mereka kesan kalau terlalu bergantung pada kemudahan digital ni.

“Contoh mudah macam kita guna Whatsapp. Memang la sekarang semua urusan banyak guna Whatsapp, tapi sebenarnya aplikasi tu dalam tak sedar dah buat kita ambil mudah cara komunikasi yang penting macam bercakap secara bersemuka atau cara penulisan yang formal. Kesan utama dah tentulah pada para pelajar macam saya. Sebab bila kita dah terbiasa dengan cara pergaulan yang banyak guna shortform, lepas tu guna pula ejaan yang tak betul, campur dengan perkataan urban yang baru pulak, dah tentu semua tu beri kesan negatif pada skil komunikasi kita tanpa kita sedar macam low confidence dan lemah vocabulary.”

Apabila beliau mengatakan sisi keburukan dek kerana terlalu bergantung pada kemudahan digital ini contohnya Whatsapp tadi, saya tanyakan pula bagaimana sepatutnya kelebihan literasi digital ini digunakan oleh semua generasi?

“Sistem digital ni kan, sebenarnya ia memang memudahkan urusan malah boleh beri kita advantage. Contoh selain lebih selamat, kita boleh menjimatkan masa kalau guna cara cashless. Selain boleh tambah kawan, kita boleh luaskan bisnes dengan media sosial. Selain kita hilangkan stress layan Tik Tok, kita boleh belajar macam-macam tutorial! Kita akan dapat setiap kelebihan celik digital ni kalau kita praktikannya. Sebab tu program MDEC macam ni bagus dalam nak lahirkan generasi yang peka dengan digital sebab semakin hari, teknologi akan bertambah maju dan kita tak sepatutnya ketinggalan.

“Cuma setiap yang baik tu mesti ada yang buruk. Scammer, keyboard warrior, pembaziran masa, lalai, pornografi dan macam-macam lagi, semua tu ancaman yang kalau kita tak manage kelebihan digital ni dengan baik, ia memang boleh merosakkan sama ada secara komuniti atau individu.”

Seronok sebenarnya saya melihat seorang belia yang penuh semangat seperti Nurhakim ini. Apatah lagi, setiap siri jawapan yang diberikan olehnya kondusif bukan sahaja untuk rakan segenerasinya, malah mewakili generasi yang terdahulu sebelumnya. Dan ia merangkumi sisi pro dan kontra pada apa yang dinamakan celik digital.

Kesimpulannya, mungkin ada yang masih menganggap literasi digital adalah perkara alami yang akan kita pelajari secara spontan, seiring dengan perkembangan zaman dan kehendak semasa. Namun, untuk hidup di dunia tanpa sempadan ini, mungkin kita yang perlu mencipta sempadan itu sendiri.

Jika (tidak), mungkin kita yang akan terkapai dilambung ombak kemajuan digital.