FEBRUARI 21: RUMAH IZWAN, BLOK C, PPR HICOM
Semenjak dunia dilanda wabak Covid-19, salah satu perkataan yang sering bermain tidak kiralah sama ada di bibir para pemimpin atau rakyat marhaen adalah, Frontliner. Dan dari perkataan itu, kita mulai kenal siapa yang diklasifikasikan sebagai frontliner. Dari petugas kesihatan, polis, tentera, pasukan sukarelawan hingga ke penghantar makanan, kisah-kisah mereka dari yang suka hingga ke duka, acap kali telah bergelintar di media sosial.
Dan salah satu figura yang dikategorikan sebagai frontliner ialah pemandu lori. Sama ada hujan, ribut, banjir malahan ketika negara melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, pemandu lori terutamanya yang berkhidmat menghantar barangan penting seperti makanan dan minuman tetap komited meneruskan perkhidmatan.
Namun di sebalik kecemerlangan khidmat mereka, sudah pasti ada cerita di sebaliknya. Walaupun tugas pemandu lori ini dianggap enteng iaitu sekadar menghantar barang, ia tetap kerjaya yang saya anggap mencabar dan ada tekanannya sendiri.
Untuk merungkai realiti, saya mencari masa untuk bertemu Izwan atau nama sebenarnya, Mohd Nor Izwan Bin Mohd Yazid, juara pertandingan nyanyian K2K Idol yang juga merupakan seorang pemandu lori. Berusia 35 tahun dan berpersonaliti ceria, kerjaya sebagai pemandu ini bukanlah asing untuknya. Dari menjadi pemandu VIP hingga ke pemandu lori, asam garam jalan raya itu sudah menjadi lumrah bagi dirinya.
Pada tarikh yang telah dijanjikan, saya berkunjung ke rumahnya sekitar pukul 6.30 petang. Dia menjemput saya masuk ke rumahnya dengan personalitinya yang ceria, persis dengan karakternya ketika final K2K Idol iaitu gemar berjenaka secara semula jadi.
Perwatakan Izwan itu membuat saya terpanggil untuk bertanya, adakah dia memang bersikap begini? Atau hanya dalam keadaan tertentu sahaja dia bersikap ceria?
“Kalau tanya orang yang dah lama kenal saya, memang macam ni lah saya. Masa saya hantar barang ke, menyanyi ke, dekat rumah ke, inilah saya. Cuma bila masuk K2K Idol hari tu dan jadi juara, baru la orang macam tertanya-tanya, saya ni memang suka buat lawak ke? Saya tak tahu la saya ni lawak ke tak, tapi memang inilah saya sebenarnya.”
Dengan personalitinya itu, saya tertanya-tanya, sekiranya personaliti cerianya itu dibawa saat dia menjalankan tugasnya sebagai pemandu lori. Adakah itu akan menjadikan dirinya bebas tekanan saat bertugas?
“Jadi pemandu lori ni bang, nampak memang senang. Hidupkan lori, ikut alamat, hantar barang, selesai. Tapi yang orang tak nampak, pemandu lori ni ada tekanannya sendiri. Nak urus masa, nak layan kerenah customer, dan yang paling buat stress ialah, jalan raya tu sendiri.”
Jalan raya adalah penyumbang stress? Dan perkongsiannya selepas itu bagi saya sangat menarik.
“Jalan raya ni sebenarnya tempat yang paling stress dalam dunia. Sebab apa? Sebab atas jalan raya tu penuh dengan manusia yang membawa tujuan. Dan untuk mencapai tujuan tu, macam-macam la perangai pemandu yang kita akan nampak dalam nak mencapai tujuan tu. Contoh, ada manusia yang tujuannya nak pergi kerja, tetapi terbangun lambat. Akibatnya, bila di jalan raya, kesabarannya mula berkurang. Kesannya, bila dah tak sabar ni, mula la nak langgar lampu merah, naik angin dan macam-macam lagi. Semua tu disebabkan oleh tujuan.
“Abang bayangkan kalau daripada 10 orang pemandu, ada lapan orang pemandu macam ni, dan saya pulak berada di atas jalan raya hampir 10 ke 12 jam sehari, stress tak saya? Senang cerita, kita ni pagi bangun mood elok, ceria, tapi bila pegang je stereng lori, level stress tu mula naik. Sebab apa? Sebab kita kena hadap stress tujuan orang lain. Tapi saya tak la kata orang lain. Saya pun pemandu juga. Ada masa saya marah dan stress juga. Sebab tu la, saya suka menyanyi bila memandu untuk hilangkan stress.”
Dari sudut Izwan yang sememangnya sudah lali dengan asam garam jalanraya, apa yang dikatakan itu ada benarnya. Jalan raya adalah tempat pengumpulan segala jenis tujuan dan matlamat. Tetapi, sejauh mana menyanyi boleh mengurangkan stress beliau?
“Menyanyi ni fungsinya untuk menghiburkan. Macam saya dulu pernah menyanyi di majlis kenduri kahwin, jadi kita menyanyi untuk menghiburkan penontonlah. Kalau tiada penonton, kita menghiburkan diri sendirilah. Apa pun, kita yang kena hiburkan hati kita dulu, barulah orang lain akan terhibur. Yang penting, menyanyi je! Lepaskan!” katanya pada saya.
“Sebab asasnya, kita kena fikir satu cara atau jalan keluar sementara untuk kita berasa lega sebentar, tak kiralah dengan menyanyi ke, bersukan ke, memasak ke. Dan bila dah rasa lega, barulah kita boleh berfikir dengan rasional, tak terburu-buru dan lebih bersabar.”
Melalui penjelasan Izwan, sememangnya bekerja sebagai pemandu lori bukan satu hal yang mudah, terutama dari aspek pengurusan emosi. Namun, setiap manusia ada ruang escapism masing-masing untuk mengurangkan tekanan. Bagi saya, ini ialah keperluan untuk setiap manusia. Selagi, ruang escapism yang dipilih itu tidak memudaratkan diri sendiri.
Di pengakhir pertemuan, saya sempat bertanyakan Izwan, sekiranya menyanyi juga gagal meredakan stress atau tekanan yang dihadapi, apa lagi yang dia akan lakukan? Jawabannya sangat mudah.
“Stress ni kan bagi saya, apa sahaja bidang akan ada sudut stress-nya. Orang yang memang kerjanya menyanyi pun akan stress juga, sedangkan untuk saya, menyanyi tu boleh hilangkan stress. Tapi kalau dengan menyanyi pun macam tak berkesan untuk hilangkan stress tu, saya akan habiskan masa dengan keluarga. Tak kiralah dengan memasak ke, deko rumah ke, pergi bercuti ke, sebab siapa lagi yang memahami diri kita selain dari keluarga kita sendiri kan?”
Saya hanya tersenyum mendengar penjelasannya. Ya, mungkin jawapannya adalah jawapan klise, tetapi bagi saya, klise ataupun tidak, setiap manusia ada sudut tekanan masing-masing. Dan untuk itu, kitalah yang harus bijak menguruskan tekanan tersebut. Mungkin untuk Izwan, menyanyi dan beraktiviti bersama keluarga sudah cukup efektif untuk dirinya mengurangkan stress.
Tetapi bagaimana dengan kita? Kita tak semestinya perlu jadi seperti Izwan, tetapi kita juga manusia seperti Izwan. Oleh itu, selepas menepuk dada, jangan hanya tanya selera. Tanyalah juga apa kehendak minda dan jiwa kita.