Table of Contents
1.0 Perumahan awam berisiko menjadi setinggan bertingkat?
Proses urbanisasi Malaysia yang amat pesat boleh dilihat pada lanskap bandar-bandar Malaysia yang bercirikan bangunan-bangunan bertingkat yang semakin hari semakin padat dan tinggi. Corak pembangunan ini kebanyakannya terdiri daripada perumahan-perumahan awam seperti Program Perumahan Awam (PPA), Program Perumahan Rakyat (PPR), perumahan kos rendah dan sebagainya.
Sekilas pandang pada blok-blok kompleks perumahan ini kita dapat lihat tingkap-tingkap yang ditutup dengan plastik. Rupa plastik-plastik ini ada yang kelihatan elok, ada yang sudah lusuh, dan ada juga yang sudah berlubang-lubang. Apabila ditanya mengenai ini, penduduk menjawab plastik itu dipasang untuk menghadang hujan daripada masuk ke rumah. “Kalau tidak boleh banjir dalam rumah, apa lagi kalau hujan serong,”¹ kata seorang penduduk. Jawapannya lebih menakjubkan apabila kita sedar yang penduduk ini, walaupun menetap di tingkat 12 bangunan bertingkat, masih mengalami masalah banjir selepas hujan. Jika ditanya pula kenapa tidak memasang sengkuap atau awning, mereka menjawab, “Pihak pengurusan tak bagi, kata nampak buruk.”² Jelas daripada contoh ini kita melihat bagaimana wujudnya jurang keutamaan di antara pihak pengurusan yang menekankan estetika bangunan perumahan awam, dengan masalah banjir dan kesihatan rumah penduduk setempat.
Isu-isu seperti ini yang dialami oleh penduduk perumahan awam jarang mendapat perhatian orang ramai di Malaysia. Ditambah pula dengan cabaran ekonomi dan kesihatan, keadaan kehidupan mereka boleh dikatakan melarat. Pada 2018, UNICEF Malaysia mengeluarkan satu laporan yang menekankan keadaan ini.³ Antara dapatan laporan tersebut ialah 22% kanak-kanak di bawah umur lima tahun terbantut dan 15% kurang beratnya, sementara 23% terlebih berat atau obes. Bagi setiap isi rumah yang dikaji, 8 per 10 tidak mempunyai wang simpanan dan 2 per 3 tidak mempunyai sebarang perlindungan sosial, dengan kadar kemiskinan relatif pada 85%. Ini digandingkan pula dengan kenyataan bahawa komuniti perumahan awam bekerja lebih lama tetapi berpendapatan lebih rendah berbanding kadar purata negara. Tambahan pula, 3 per 4 merasakan kawasan perumahan mereka tidak selamat untuk kanak-kanak.⁴
Terdapat beberapa lagi laporan yang menunjukkan keperitan hidup golongan miskin kota di perumahan awam. Satu tinjauan komuniti perumahan awam Malaysia, misalnya, mendapati kadar ketidakpuasan hati yang tinggi di kalangan penduduk perumahan awam terhadap persekitaran kehidupan mereka.⁵ Menurut tinjauan itu, di antara isu yang sering dialami oleh penduduk adalah rekabentuk dan kualiti bangunan yang bermutu rendah, kerosakan infrastruktur awam, kemerosotan kebersihan, kegiatan sosial yang kurang sihat, dan juga tekanan kewangan.⁶
Terdapat juga kemerosotan kesihatan. Satu tinjauan pada tahun 2019 berkenaan jangkitan parasit usus (intestinal parasite infection, IPI) menunjukkan komuniti perumahan awam mempunyai kadar IPI yang lebih tinggi (22.5%) berbanding komuniti lain (17.0%).⁷ Kadar IPI mempunyai kesan ke atas kesihatan. Ini menambahkan lagi cabaran yang terpaksa dilalui oleh komuniti perumahan awam.
Dapatan kajian-kajian ini menunjukkan kerentanan golongan miskin kota di perumahan awam. Walaupun terdapat banyak program bantuan daripada sektor awam dan swasta⁸ seperti bantuan kewangan, makanan, pendidikan serta program-program imunisasi, golongan ini masih terdedah kepada renjatan ekonomi dan krisis-krisis lain yang boleh membuat keadaan mereka semakin parah. Antaranya adalah krisis Covid-19.
Kes Covid-19 pertama di Malaysia dikenal pasti pada Januari 2020, dan pada penghujung Mac, kerajaan telah menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengawal jangkitan virus. Walaupun PKP pada awalnya berjaya melandaikan lengkok jangkitan, walau hanya sebentar, kesannya terhadap ekonomi dan kehidupan sosial adalah parah. Kadar pengangguran meningkat tinggi, GDP negara merudum, dan Malaysia mengalami kadar pertumbuhan paling perlahan semenjak Krisis Kewangan Asia.⁹
Kawalan pergerakan itu memberi kesan yang lebih teruk terhadap komuniti perumahan awam di mana majoriti mereka sudah pun dalam kesusahan. Ramai daripada mereka merupakan pekerja upahan dan tidak mempunyai wang simpanan yang memadai. Ramai yang terpaksa menutup perniagaan mereka dan berkurung di dalam rumah sempit bersama seluruh ahli keluarga. Ramai juga yang diberhentikan kerja oleh majikan mereka.
Setelah lebih setahun berada dalam PKP, keadaan semakin memburuk. Kemerosotan taraf hidup golongan perumahan awam mewujudkan golongan miskin kota yang semakin ditekan oleh kemerosotan persekitaran dan sosio-ekonomi. Penduduk perumahan awam terjerat di dalam lingkaran pendapatan, pendidikan dan kesihatan rendah, serta masa hadapan yang merudum. Dengan kemerosotan sosio-ekonomi yang berterusan, kawasan perumahan awam ini bakal menjadi kawasan ‘setinggan baru’.
Demi mengatasi masalah ini, pelbagai program dan dasar dicadangkan oleh pelbagai pihak. Antaranya adalah memperluaskan bantuan kewangan, memperkenalkan langkah-langkah yang boleh menambahkan peluang penjanaan pendapatan, menambah baik perlindungan sosial, menyediakan makanan di sekolah, menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik (termasuk perkhidmatan kesihatan mental) dan sebagainya.¹⁰ ¹¹
Walau bagaimanapun, tidak ada usaha untuk mengkaji punca-punca yang mewujudkan keadaan ini, yang terletak pada proses dan dasar perbandaran negara, khususnya pada dasar-dasar yang berkaitan dengan perumahan awam dan struktur pentadbirannya. Tanpa melihat kepada punca-punca ini, dasar-dasar dan program-program untuk memperbaiki keadaan akan menjadi kurang berkesan. Malah, terdapat satu tinjauan pada tahun 2016 yang menunjukkan salah satu penyebab kemerosotan taraf hidup di kompleks perumahan awam di Malaysia adalah disebabkan oleh kurangnya suara penduduk dalam proses membuat keputusan, merujuk kepada isu pentadbiran dan pengurusan, bukan hanya isu ekonomi.¹²
Justeru itu, laporan ini bertujuan menyelam lebih dalam, mengamati isu-isu berkaitan pentadbiran, pengurusan, serta dinamik komuniti, dengan fokus terhadap perumahan awam kos rendah bertingkat tinggi. Laporan ini mengambil suara penduduk sebagai sumber utama, melalui temubual dan perbincangan kelompok sasaran (focus group discussion, FGD) dengan penduduk kompleks perumahan awam di Lembah Kelang. Ditambah dengan ulasan laporan-laporan dan penulisan-penulisan sedia ada, kertas ini akan memberi gambaran isu-isu yang memberi kesan ke atas komuniti perumahan awam, sambil menunjukkan aspek kajian yang harus diberi keutamaan supaya dasar-dasar dan program-program yang lebih berkesan dapat dihasilkan.
2.0 Kediaman terasing
Cendekiawan urbanisasi David Madden dan Peter Marcuse mengetengahkan konsep ‘kediaman terasing’ untuk menggambarkan pengalaman kediaman yang tidak tentu, tidak selamat dan tidak berdaya.¹³ Dalam kediaman terasing ini, penduduk tidak dapat membentuk lingkungan persekitaran rumah mereka seperti yang mereka inginkan. Tambahan pula, mereka tidak berdaya untuk memenuhi keperluan dan kebebasan mereka, dan mempunyai kuasa sosial yang lemah.¹⁴
Begitulah kehidupan yang dialami oleh komuniti perumahan awam di Malaysia. Pada satu sudut, kehidupan mereka tidak tentu dan tidak selamat dari segi ekonomi kerana mereka tidak mempunyai pendapatan yang stabil sebagai pekerja buruh dan kolar biru. Dari sudut lain, mereka tidak mempunyai kuasa sosial kerana diabaikan dan diasingkan daripada program-program pembangunan serta proses-proses membuat keputusan, mengakibatkan mereka berasa tidak berdaya dan tidak berupaya untuk mandiri.
Keadaan bertambah buruk disebabkan oleh krisis Covid-19 dan sekatan pergerakan yang dijalankan. Sudah pun terasing dan terpinggir dari masyarakat, komuniti perumahan awam menghadapi cabaran yang lebih besar dengan kuasa dan keupayaan yang lemah untuk memperbaiki keadaan mereka dan terselamat daripada krisis ini.
2.1 Keperitan ekonomi
Data daripada program K2K oleh Think City menunjukkan komuniti perumahan awam sangat terkesan oleh renjatan ekonomi disebabkan penularan wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP). Sejumlah 86% isi rumah di kompleks perumahan awam kehilangan pendapatan sejak bermulanya pandemik dan PKP, 20.7% melaporkan tidak mempunyai makanan yang mencukupi untuk anak-anak mereka selama dua hari atau lebih berturut-turut, dan 65% isi rumah melaporkan kurang membeli makanan atau membeli makanan yang lebih murah untuk seisi keluarga sepanjang waktu PKP.¹⁵ Menurut seorang penduduk perumahan awam di Selangor, “Mungkin ada yang tak bekerja, ada yang diberhentikan kerja, jadi itu yang utama, pendapatan. Banyak yang berniaga dah tak boleh berniaga.”¹⁶
Tambahan pula, kehidupan mereka tidak aman kerana tiada perlindungan sosial yang boleh memberi sedikit pertahanan daripada hentaman ekonomi yang sedang dialami oleh seluruh warga Malaysia. Satu kajian daripada UNICEF Malaysia dan UNFPA berkenaan impak krisis Covid-19 terhadap isi rumah berpendapatan rendah menunjukkan 45% daripada mereka tidak mempunyai akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).¹⁷ Menurut kajian yang sama, jumlahnya lebih tinggi di kalangan ketua keluarga wanita dan ketua keluarga orang kelainan upaya (OKU), masing-masing sebanyak 51% dan 73%.
Untuk mengurangkan keperitan yang dialami golongan berpendapatan rendah, kerajaan Malaysia telah mengumumkan program-program bantuan seperti Bantuan Prihatin Nasional dan Bantuan Prihatin Rakyat. Malah sebelum krisis Covid-19, sudah pun ada program Bantuan Sara Hidup, di mana menurut kajian Think City, seramai 75% penduduk perumahan awam dapat menikmatinya.¹⁸ Akan tetapi, beberapa penduduk melaporkan yang mereka dieksploitasi oleh majikan yang menyebabkan mereka tidak dapat mengakses bantuan-bantuan ini. Menurut seorang penduduk, “Ada yang diberhenti kerja tanpa surat. Jadi yang tak ada surat tak dapat dia nak mohon apa yang kerajaan dah bagi. Kalau tak dapat surat, macam mana nak mohon? Tak ada bukti.”¹⁹
Terdapat juga isu berkenaan pengedaran zakat. Data daripada Think City menunjukkan hanya 15% daripada penduduk perumahan awam di kawasan kajian menerima bantuan zakat.²⁰ Menurut Lembaga Zakat Selangor—badan kerajaan yang bertanggungjawab dalam pengutipan dan pengedaran zakat di Selangor—antara kriteria penerima zakat adalah “seseorang yang terbelenggu di bawah suatu kuasa atau keadaan yang menjadi hambatan kepada dirinya bagi menjalani kehidupan yang lebih baik.”²¹ Lebih daripada 75% penduduk perumahan awam hidup di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (Poverty Line Income, PLI)²² ²³, maka jumlah penduduk yang patut mendapat zakat haruslah lebih daripada 15%.
Keadaan bertambah buruk ketika PKP3.0 dijalankan. Walaupun terdapat bantuan berterusan, ia masih tidak dapat membantu penduduk di waktu kecemasan.²⁴ Bantuan seperti baucer sering tergendala, dan disebabkan sekatan tempoh bekerja, petugas yang bertanggungjawab menguruskannya tidak mudah untuk dihubungi. Seperti menurut seorang penduduk, “…baucer bungkusan untuk bulan Jun hanya boleh dituntut bermula 1 Julai, setiap hari Khamis sahaja. Tetapi bermula 5hb, ofifis tutup selama 2 minggu. Memang ada buka kaunter baucer pada hari Sabtu separuh hari, tapi berapa ramai je yang berpeluang nak tuntut.”²⁵
2.2 Tiada daya
Seperti disebut di atas, salah satu aspek kediaman terasing adalah perasaan tidak berdaya. Sememangnya inilah yang dialami oleh komuniti perumahan awam, khususnya berkenaan pengurusan kompleks kediaman mereka. Pemetaan orang berkepentingan (stakeholder mapping) dalam pengurusan perumahan awam menunjukkan terdapatnya ‘akauntabiliti ke atas’, di mana pihak pengurusan dan perkhidmatan bertanggungjawab kepada pihak atasan dan bukan penduduk. Ini tidak memberi ruang kepada penduduk untuk ada suara dalam pengurusan kediaman mereka, daripada aspek penjagaan infrastruktur, perkhidmatan, malah juga sama ada mereka dapat terus tinggal di situ atau tidak.
Sebagai contoh, kita lihat kompleks perumahan awam di bawah kelolaan kerajaan negeri Selangor.
Kompleks perumahan awam di negeri Selangor terletak di bawah penjagaan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), sementara pengurusannya terletak di bawah Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB). Secara strukturnya, PHSSB harus melapor kepada LPHS. Sementara itu, kontraktor pihak ketiga yang diupah untuk memberi perkhidmatan seperti pembuangan sampah diupah oleh PHSSB, maka mereka melapor kepada PHSSB. Tidak ada di antara mereka yang melapor kepada penduduk, sedangkan mereka merupakan pihak berkepentingan yang utama, yang tinggal di kompleks perumahan itu dan harus berhadapan dengan segala isu berkaitan dengan penjagaan dan perkhidmatan di sana. Situasi yang sama boleh dilihat dalam struktur pengurusan perumahan awam di negeri-negeri lain. Jelas isu utama yang berbangkit adalah isu akauntabiliti terhadap penduduk. Maksudnya pihak pemberi perkhidmatan (service provider) mempunyai akauntabiliti terhadap pegawai pengurusan dan bukannya akauntabiliti terhadap penduduk, justeru tidak mempunyai insentif untuk memberi perkhidmatan yang prihatin-penduduk.
Disebabkan itu, penduduk perumahan awam tidak berdaya untuk memastikan penjagaan dan perkhidmatan di kawasan kediaman mereka memenuhi keperluan mereka. Pihak pengurusan dan kontraktor pula tidak mempunyai apa-apa insentif untuk memenuhi keperluan penduduk, kerana mereka tidak bertanggungjawab ke atas mereka. Ini meletakkan penduduk di bawah belas kasihan pihak pengurusan. Menurut seorang penduduk yang bercerita pengalamannya meminta pihak pengurusan membaiki lampu di koridornya, “Lampu koridor rosak, jadinya bergelap satu floor, hampir dua minggu bergelap. Lepas itu, diorang baiki. Kemudian ada short somewhere, gelap balik. Maknanya tak sampai seminggu dah gelap balik. Tengok keadaan. Kalau dia datang cepat, dia baiki cepat, cepat kita terang… Tapi bila kami lambat bayar sewa, meter kami kena lock.”²⁶
Pengurusan perumahan awam di seluruh negara sangat bermasalah. Sebagai contoh pada tahun 2015, Selangor Special Select Committee on Competence, Accountability and Transparency (SELCAT) mengeluarkan satu laporan berjudul Penyelenggaraan dan Pemantauan Perumahan PPR Negeri Selangor. Laporan tersebut adalah hasil daripada perbicaraan awam untuk menyiasat pengurusan dan pembiayaan penyelenggaraan PPR berikutan kemalangan yang membabitkan dua kanak-kanak di PPR Kota Damansara pada tahun 2013 dan 2015. Laporan itu menunjukkan tiada koordinasi dan kerjasama di antara agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengurus kompleks perumahan awam, di pihak Negeri dan Persekutuan.²⁷
Sewaktu laporan tersebut dikeluarkan, pengurusan perumahan awam di Selangor baru sahaja berpindah tangan dari Majlis Perbandaran ke PHSSB. Laporan tersebut mendapati di bawah pihak Majlis Perbandaran, pengurusan kompleks perumahan awam, daripada pengutipan sewa kepada penyelenggaraan dan keselamatan, amatlah tidak memuaskan. Isu-isu yang sama turut berlaku di bawah penjagaan pengurusan baru.²⁸ Tambahan pula, terdapat isu pemilikan tanah dan tanggungjawab infrastruktur yang mengelirukan bidang kuasa dan tanggungjawab agensi-agensi kerajaan. Akibatnya, aduan-aduan penduduk berpusing-pusing di agensi-agensi berlainan dan tiada tindakan diambil untuk menyelesaikan sebarang isu.²⁹
Penglibatan penduduk di dalam pengurusan kompleks kediaman mereka sangat terhad disebabkan tiada struktur jelas yang membolehkan mereka turut serta dalam pengurusan. Di Malaysia, perumahan kos rendah dilihat sebagai ‘ihsan’ yang diberikan oleh pihak berkuasa kepada golongan miskin, di mana prosesnya hanya melibatkan pihak berkuasa dan pemaju swasta tanpa mengambil kira suara dan pandangan penduduk.³⁰ Ini mewujudkan hubungan ‘paternalistik’, di mana penduduk hanya boleh mendengar dan menerima apa-apa keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan.³¹
2.3 Bimbang dan takut
Terdapat ketidakseimbangan yang ketara di antara pihak pengurusan dan penduduk perumahan awam, yang lebih berat ke arah pihak pengurusan. Akibatnya, penduduk perumahan awam hidup di dalam kebimbangan dan ketakutan. Keperitan ekonomi yang dialami sering membuat penduduk lewat membayar sewa rumah, dan pihak pengurusan sering mengambil tindakan pantas. Walaupun di dalam keadaan gawat Covid-19 ini, pihak pengurusan jarang memberi peluang kepada penduduk. Surat amaran tetap datang tepat pada waktunya, walaupun pihak pengurusan tahu amat sukar untuk penduduk membuat pembayaran. Usaha untuk berunding tidak berhasil, seperti yang dinyatakan oleh seorang penduduk, “Cara negotiate dia, pergi dekat pejabat, maknanya sign ‘aku janji’, maknanya kita masih kena bayar tapi bayar ansur-ansur. Lepas tu kalau kita cakap lebih, diorang cakap ‘pindahlah’. Itu cara (berurusan) dengan diorang.”³²
Perasaan takut untuk diusir bukan hanya disebabkan pembayaran sewa. Oleh kerana pihak pengurusan mempunyai kuasa mutlak ke atas kompleks perumahan awam, penduduk sentiasa takut untuk menyinggung mereka, kerana mereka bimbang ia akan menyebabkan mereka diusir keluar. Apabila ditanya tentang pandangannya terhadap pihak pengurusan di kediamannya, seorang penduduk berkata, “Kalau kami cerita semua, Encik war-warkan, Encik keluarkan kepada media, apa pengurusan PPR punya keburukan, nanti kami yang kena. Saya risau itu.”³³
Menurut penduduk-penduduk lain, pengusiran disebabkan rungutan ke atas pihak pengurusan pernah berlaku. Berikut adalah perbualan di antara dua penduduk mengenai kejadian berkaitan lif rosak yang tidak dibaiki sekian lama:
“Itu hari, ada TV3 datang. Lepas itu, kita cerita pasal apa? Air eh?”
“Pasal lif.”
“Lif! Orang itu dapat surat amaran, dipanggil ke ofis. Yang cerita pasal lif itu kan yang kena panggil?”
“Dia terus kena halau.”
Ketidakseimbangan kuasa ini juga mewujudkan masalah sikap di kalangan pekerja pengurusan. Menurut seorang penduduk, “Cumanya kadang-kadang attitude pekerja. Sometimes diorang ikut mood, bila tiba masa mood dia tak ok, geram, bila kita cakap, dia punya balasan itu menyakitkan hati.”³⁴ Anekdot yang serupa dijumpai di dalam laporan SELCAT, di mana pihak pengurusan tidak cakna ke atas rintihan dan keluhan penduduk mengenai kerosakan infrastruktur. Tambahan pula, penduduk sering merasakan yang mereka tidak dihormati oleh pihak pengurusan dan mereka tiada simpati ke atas masalah yang dihadapi penduduk.³⁵
Malah dalam tempoh PKP sekalipun, di mana kehidupan penduduk semakin terhimpit dan tertekan dalam skala yang tidak pernah terjangka, penduduk masih berasa takut untuk meminta bantuan yang sangat mereka perlukan. Mereka risau sekiranya mereka kerap meminta bantuan, atau memberitahu yang bantuan sedia ada dan pengurusannya tidak mencukupi di dalam keadaan kecemasan, pihak berkuasa dan pengurusan akan menuduh mereka tidak bersyukur.³⁶
2.4 Bukan tempat untuk anak muda dan kanak-kanak
Meluangkan masa di kompleks perumahan awam akan mendapati tidak ada anak muda di ruang-ruang awam. Malahan, tidak ada banyak ruang awam pun. Ruang kaki lima dijadikan ruang letak motosikal, sementara ruang beriadah dan berekreasi sangat sedikit, dan tidak dijaga rapi. Terdapat kawasan permainan kanak-kanak, tetapi keadaannya sama dengan ruang rekreasi. Di salah satu kompleks perumahan awam, kawasan permainan terletak bersebelahan dengan kawasan pelupusan sampah, membuatkannya tidak sesuai digunakan oleh kanak-kanak.
Seorang penduduk berkata, “Macam anak-anak kami, bila dah sekolah menengah, kami kena hantar ke luar. Maknanya tempat ini tak sesuai untuk kondisi budak-budak nak belajar.”³⁷ Ramai ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak mereka ke asrama kerana mereka merasakan persekitaran kediaman mereka tidak sesuai untuk anak-anak mereka, sama ada untuk belajar atau bersosial dengan keluarga dan rakan sebaya. Anak-anak muda pula akan keluar dan tinggal di kampus atau menyewa di luar. Tetapi, dengan krisis Covid-19 yang menutup semua sekolah dan kampus, tidak ada lagi pilihan ini untuk mereka.
Terkurung di rumah dan tidak boleh membuat sebarang aktiviti di luar membuatkan anak-anak merasa terasing dan bosan, yang kemudiannya memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental dan emosi mereka. Seorang bapa mengeluh tentang anaknya, berumur tiga tahun, yang sudah mengalami rasa bosan. “Dari segi emosi kanak-kanak, budak-budak, diorang terperuk dekat rumah, tak boleh keluar. Nampak beza. Yang kecil itu 3 tahun, dah memang bosan, dah pandai bosan dah, baru kecil. Nak keluar tak boleh, diorang tertekan, asyik nak ada handphone. Itu masalah juga.”³⁸
Satu lagi perkara yang merunsingkan adalah berkaitan isu gangsterisme. Keganasan dan kegiatan geng sering dikaitkan dengan golongan miskin kota, terutamanya di kalangan penduduk perumahan awam. Menurut seorang penduduk, “Kalau dekat sini, jenayah ada. Tiga Line dengan Selendang Merah itu, dengan apa lagi, India punya geng itu. Apa nama dia? Geng 24.”³⁹
Kegiatan geng sudah banyak berkurang di kebanyakan kompleks perumahan awam. Tetapi, pengalaman buruk yang lalu banyak memberi trauma kepada penduduk, kerana mereka menyaksikan sendiri keganasan yang berlaku. “Dulu, berparan-parang pun ada,” kata seorang penduduk. “Bertetak-tetak, yang pecah kepala pun ada. Kes, jangan cakaplah, yang sampai hampir putus pun ada. Sebab saya sendiri—dia bergaduh depan rumah saya. Saya yang call polis, saya dah tak boleh tengok diorang macam itu. Seram!”⁴⁰
Ini sejajar dengan dapatan laporan SELCAT yang mengatakan penduduk perumahan awam berasa tidak selamat di kawasan kediaman mereka sendiri. Kegiatan pengedaran dadah dilaporkan berlaku di dalam kawasan perumahan, dan anak-anak muda terlibat dengan kegiatan menghisap gam.⁴¹ Apabila isu ini dibawa ke pihak polis, masalah bidang kuasa timbul. Menurut pihak polis, ini merupakan tanggungjawab Persatuan Penduduk, dan pihak polis hanya boleh mengambil tindakan sekiranya terdapat laporan-laporan di semua kompleks perumahan awam.⁴²
2.5 Jurang digital
Teknologi digital telah memberi impak yang berbeza terhadap komuniti perumahan awam. Dari sudut komunikasi, ianya banyak membantu. Aplikasi seperti whatsapp menjadi jalur utama untuk penduduk berkongsi maklumat, membuat pengumuman, dan juga melapor sebarang kejadian atau kerosakan infrastruktur. Di sebuah perumahan awam, setiap blok mempunyai grup whatsapp sendiri, di mana komunikasi dan segala perbincangan mengenai blok tersebut berlangsung.
Walau bagaimanapun, pendigitalan yang berlaku semasa krisis Covid-19 ini telah meluaskan jurang di antara mereka yang berada dan kurang berada, terutamanya dari sudut pendidikan kanak-kanak. Bagi komuniti perumahan awam, mereka tidak mempunyai akses yang penuh kepada ruang pendidikan digital yang menyebabkan anak-anak mereka tercicir dalam pembelajaran dibandingkan dengan anak-anak daripada keluarga yang berada.
Data daripada Think City menunjukkan majoriti (56.5%) isi rumah di kompleks perumahan awam mempunyai akses kepada dua telefon pintar.⁴³ Tetapi, 63.1% isi rumah mempunyai dua ke empat orang anak di bawah umur 18 tahun.⁴⁴ Bermakna masih terdapat kekurangan telefon pintar untuk digunakan oleh seluruh isi rumah, untuk ibu bapa dan anak-anak. Tambahan pula, tidak semua di kalangan mereka mempunyai akses kepada internet. Mereka hanya mempunyai akses kepada wifi percuma yang disediakan oleh kerajaan, yang hanya terdapat di dewan atau bilik awam di tingkat bawah setiap blok.
Pembelajaran digital juga merupakan satu pengalaman baru bagi pihak ramai, dan ia masih tidak boleh menggantikan pembelajaran fizikal di dalam kelas. Kanak-kanak menghadapi masalah untuk menumpukan perhatian, sementara ibu bapa pula tidak berupaya untuk memantau progres anak masing-masing sepenuhnya. Menurut seorang bapa, “Untuk sekolah, budak-budak ini cikgu ada bagi pembelajaran melalui Whatsapp group, cuma nak belajar, kalau anak ramai itu, nak belajar dekat rumah tu payah—gangguan adik-adik yang kecil. So mana yang sempat, buat. Kadang tertangguh, so pembelajaran dekat rumah agak payah.”⁴⁵
Ibu bapa bimbang anak-anak mereka yang memulakan tahun pertama persekolahan pada 2021, ramai di kalangan mereka masih belum boleh membaca. Sebelum ini, ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke kelas membaca sebelum mereka memulakan persekolahan. Tetapi disebabkan Covid-19 dan PKP, mereka tidak dapat untuk berbuat demikian sepanjang tahun lepas. “Dan sekarang ini kes yang kami perlu tackle anak-anak 6 tahun kami. Sebab anak-anak 6 tahun ini, tahun depan diorang masuk sekolah darjah 1—kebanyakkannya tak boleh membaca… Takut bila masuk sekolah, bercampur dengan orang luar, anak-anak ini ketinggalan. Sebab diorang ini dah lama dah tak pergi sekolah. Huruf kenal tapi nak membaca tak boleh lagi,”⁴⁶ kata seorang ibu.
3.0 Daya ubah dan daya tahan
Di sebalik cabaran yang mereka hadapi, dari sudut ekonomi dan pengurusan kediaman, komuniti perumahan awam menjalankan pelbagai inisiatif mandiri untuk memperbaiki keadaan dan persekitaran mereka. Daripada hanya menunggu bantuan daripada pihak berkuasa, pihak pengurusan dan kontraktor, penduduk berusaha dan mengambil tanggungjawab sendiri. Antara inisiatif yang dijalankan oleh mereka termasuklah penyelenggaraan, memastikan keselamatan dan merancang untuk masa hadapan.
Misalnya di salah satu kompleks perumahan kajian, disebabkan mereka tidak berpuas hati dengan perkhidmatan pembuangan sampah sedia ada, penduduk di situ menjalankan perkhidmatan pengutipan sampah sendiri, yang mereka beri nama MySampah. Menggunakan aplikasi Whatsapp, penduduk menyusun pengutipan dan pembuangan sampah dengan sedikit pembayaran sebanyak RM1 untuk satu beg sampah. Melalui aplikasi tersebut, jadual pengutipan diwar-warkan, dan komunikasi untuk pembayaran juga dijalankan. “Jadinya dia buat 3 kali seminggu dan sekarang ini, kurang sikit sampah-sampah yang tak bertuan,”⁴⁷ komentar seorang penduduk mengenai keberkesanan inisiatif tersebut.
Penduduk perumahan awam juga menjaga keselamatan mereka sendiri. Walaupun setiap kompleks mempunyai pengawal keselamatan, pengawal-pengawal tersebut hanya bertanggungjawab ke atas bangunan, bukan penduduk. Oleh itu, mereka menubuhkan Pasukan Ikatan Desa (PID). Walaupun ditubuhkan oleh pihak kerajaan Negeri, PID diurus sepenuhnya oleh komuniti, dengan kerjasama oleh pihak polis tempatan. Ahli PID merangkumi ketua-ketua blok yang dilantik oleh penghuni blok masing-masing.⁴⁸
Selain menjaga keselamatan, penduduk juga memantau kediaman mereka terhadap kegiatan-kegiatan jenayah. Ini merangkumi kegiatan geng, dan juga penyalahgunaan kuasa. Di salah satu kompleks perumahan awam, penduduk melaporkan salah guna kuasa dan penggelapan wang oleh ahli jawatankuasa surau yang mengakibatkan jawatankuasa tersebut dibubarkan.⁴⁹ Pada waktu penulisan, permohonan untuk jawatankuasa baru telah dibuat untuk menggantikan jawatankuasa lama.
Penduduk perumahan awam juga sering berfifikir dan merancang untuk masa hadapan. Untuk melestarikan lagi kediaman mereka, ramai penduduk merancang untuk mewujudkan kebun dapur, menggunakan tanah-tanah kosong sedia ada di sekitar bangunan rumah mereka. “Jadinya kami mencadangkan… guna pakai kawasan-kawasan kosong, mana yang tepi longkang itu untuk ‘kebun dapur’. Bukan sekadar untuk mencantikkan pemandangan tapi boleh untuk menjana pendapatan,”⁵⁰ kata seorang penduduk perumahan awam di Selangor.
3.1 Jaringan dan solidariti
Menjadi mandiri juga dapat membina jaringan dan hubungan dengan organisasi-organisasi luar. Daripada badan-badan bukan kerajaan hingga ke kumpulan anak muda, pertubuhan amal, hospital serta universiti tempatan, penduduk perumahan awam berjaya membina hubungan dengan mereka melalui kerjasama dan gandingan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan komuniti mereka.
Di pelbagai kompleks perumahan awam, penduduk menubuhkan persatuan-persatuan untuk bekerjasama dengan badan swasta menjaga kebajikan penduduk. Antara inisiatif yang mereka jalankan termasuk penyediaan bank makanan, menjalankan aktiviti pembelajaran dan rekreasi untuk kanak-kanak dan anak muda, perkhidmatan kesihatan percuma, dan juga kegiatan peningkatan kemahiran seperti kursus pemasaran dan pencarian dana.⁵¹
Selain daripada menjaga kebajikan, beberapa inisiatif lain bertujuan untuk membina semangat komuniti. Antaranya adalah program K2K Idol dan K2K Aktif Bersama, dijalankan dengan kerjasama di antara penduduk PPR Kampung Baru Hicom, Think City dan Citi Foundation. K2K Idol adalah satu pertandingan karaoke di antara PPR Hicom dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), dijalankan atas talian, yang bertujuan untuk menyemarakkan hubungan sesama penduduk, selain memberi ruang untuk melepaskan tekanan dalam krisis Covid-19 ini.⁵² Manakala K2K Aktif Bersama pula bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat, serta menjalinkan hubungan sesama komuniti melalui kegiatan berteraskan kesihatan seperti berjalan kaki, bengkel membuat kompos, konsultasi kesihatan mental dan sebagainya. Program-program ini dijayakan dengan sokongan daripada badan-badan bukan kerajaan seperti National Cancer Society Malaysia (NCSM), Free Tree Society, Befrienders KL dan lain-lain lagi.⁵³
3.2 Pengagihan kuasa
Pengalaman kami bersama komuniti perumahan awam menunjukkan terdapat ketidaknyambungan di antara pihak pengurusan di atas dengan keadaan kehidupan penduduk di bawah. Disebabkan oleh struktur pentadbiran sedia ada, di mana pihak pengurusan tidak bertanggungajawab melapor kepada penduduk, terdapat ketidakseimbangan kuasa yang mengakibatkan perkhidmatan dan penyelenggaraan yang tidak memuaskan, sementara penduduk hidup di bawah belas kasi han pihak pengurusan dan kontraktor swasta. Oleh itu, amat penting untuk memperbaiki struktur ini untuk memberi lebih kuasa kepada penduduk menjaga kehidupan mereka sendiri.
Penyertaan aktif memerlukan pengagihan kuasa, dan menambah daya penduduk untuk mempengaruhi keputusan. Dalam konteks pengurusan perumahan awam, ini bermakna mengagih kuasa di kalangan penduduk sendiri supaya mereka berupaya terlibat dalam proses membuat keputusan. Pengagihan kuasa ini harus membolehkan mereka yang kurang berada, mereka yang terpinggir dari proses politik dan ekonomi, untuk mendapat kuasa yang setara dengan mereka yang berada.
Penduduk perumahan awam telah membuktikan yang mereka berupaya untuk mengurus dan membuat keputusan untuk kebaikan seluruh komuniti. Tambahan pula, sebagai mereka yang tinggal di kompleks perumahan ini, merekalah yang lebih mengetahui selok-belok kehidupan di kompleks perumahan awam. Oleh itu, satu-satunya cara mentadbir dan mengurusnya tanpa menganiaya penduduk adalah dengan menganggap mereka sebagai setara, dan bukan mereka yang perlu diurus dari atas. Kajian daripada Bank Dunia menunjukkan keberkesanan pengurusan apabila pemberi perkhidmatan (service provider) mempunyai perhubungan akauntabiliti terhadap penduduk ataupun penerima perkhidmatan.⁵⁴
Usaha-usaha untuk memperbaiki struktur pentadbiran perumahan awam harus disokong dan dijalankan. Pihak berkuasa haruslah membuat lebih daripada mengutip pandangan penduduk, tetapi memberi mereka lebih kuasa untuk membuat keputusan. Dasar-dasar yang dapat memastikan penglibatan penduduk dalam proses perancangan dari tahap awal harus disediakan. Ini memerlukan kerjasama dan usaha daripada pelbagai pihak, dan harus dimulakan dengan segera.
Perihal Penulis:
Badrul Hisham Ismail mempunyai lebih sepuluh tahun pengalaman di dalam penyelidikan dan pengurusan program di pelbagai sektor, di dalam dan luar negara. Bidang pengkhususannya adalah demokrasi, konflik politik, media dan urbanisasi. Badrul merupakan Director of Programs di IMAN Research.
Email: badrulhisham@imanresearch.com
Penghargaan: Penulis ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Shahridan Faiez dan Uta Dietrich, serta rakan-rakan di Think City dan IMAN Research atas sokongan dan bantuan mereka dalam penulisan ini.
Penafian: Penemuan, penafsiran dan rumusan di dalam penulisan ini adalah daripada penulis. Ia tidak mewakili pandangan Think City atau IMAN Research. Ia juga bukan kata putus berkenaan isu perumahan awam di Malaysia. Penulisan ini merupakan satu usaha untuk mewujudkan wacana, penelitian serta pelan tindakan berkenaan isu terbabit, yang diharap akan melibatkan lebih banyak suara dan pandangan dari pelbagai pihak.
Endnotes
¹ – Temubual dengan penduduk
²- Ibid
³- UNICEF Malaysia. ‘Children without: A study on urban poverty and deprivation in low-cost flats in Kuala Lumpur.’ 2018
⁴- Ibid
⁵- N. Wahi, R.M. Zin, Vikneswaran M., Ismail M., Syahrizan J. ‘Problems and Issues of High Rise Low Cost Housing in Malaysia’, IOP Conf.Series: Materials Science and Engineering,2018.
⁶- Ibid
⁷- N. Sahamin, J. Lewis and S.N. Mohd Zain. ‘Post-era mass drug administration: An update on intestinal parasitic infections in urban poor communities in Peninsular Malaysia’. Tropical Biomedicine, 2020
⁸- UNICEF Malaysia, 2018
⁹- Department of Statistics Malaysia (DOSM), August 2020
¹⁰- UNICEF Malaysia, 2018
¹¹- UNICEF Malaysia and UNFPA, 2020
¹²- F. Abdul Aziz, N Hussain, N. Ujang. ‘The Implication of Slum Relocations into Low-cost High-Rises: An Analysis through the Infrastructure of Everyday Life’, Environment-Behaviour Proceedings Journal, 2016.
¹³- Madden D. & Peter Marcuse. “In Defense of Housing: The Politics of Crisis.” Verso, 2016
¹⁴- Ibid.
¹⁵- K2K INDAH, Think City
¹⁶- Perbincangan kelompok sasaran dengan penduduk
¹⁷- “Families on the Edge” ENICEF Malaysia & UNFPA, 2020
¹⁸- K2K INDAH, Think City
¹⁹- Perbincangan kelompok sasaran dengan penduduk
²⁰- K2K INDAH, Think City
²¹- http://www.zakatselangor.com.my/agihan-zakat/penerima-kriteria-penerima-zakat/
²²- K2K INDAH, Think City
²⁴- Temubual dengan penduduk, 2021
²⁵- Ibid
²⁶- Temubual dengan penduduk
²⁷- “Penyelenggaraan dan Pemantauan Perumahan PPR Negeri Selangor”. SELCAT, 2015
²⁸- Ibid
²⁹- Ibid
³⁰- Y.M. Loh, 2016
³¹- Ibid
³²- Perbincangan kelompok sasaran dengan penduduk
³³- Ibid
³⁴- Temubual dengan penduduk
³⁵- SELCAT, 2015
³⁶- Temubual dengan penduduk
³⁷- Ibid
³⁸- Perbincangan kelompok sasaran dengan penduduk
³⁹- Temubual dengan penduduk
⁴⁰- Ibid
⁴¹- SELCAT, 2015
⁴²- Ibid
⁴³- K2K INDAH, Think City
⁴⁴- Ibid
⁴⁵- Perbincangan kelompok sasaran dengan penduduk
⁴⁶- Ibid
⁴⁷- Temubual dengan penduduk
⁴⁸- Ibid
⁴⁹- Ibid
⁵⁰- Perbincangan kelompok sasaran dengan penduduk
⁵¹- K2K INDAH by Think City
⁵²- https://www.malaysiakini.com/hiburan/555280
⁵³- K2K Aktif Bersama by Think City
